Skip to main content

Kerajaan boleh keluarkan atau tarik balik pasport


PUTRAJAYA: Terletak pada budi bicara kerajaan sama ada untuk mengeluarkan, menangguhkan pengeluaran atau menarik balik pasport, Mahkamah Rayuan diberitahu pada Rabu.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berkata demikian pada pendengaran rayuan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya bagi semakan kehakiman terhadap arahan Imigresen melarangnya daripada menaiki penerbangan ke Indonesia pada 22 Julai, 2015.

Menegaskan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan hak kepada warganegara untuk memiliki pasport, beliau berkata peruntukan 'kebebasan seseorang' hanya merujuk kepada kebebasan daripada ditahan secara salah dan ia tidak memberikan hak asasi kepada warganegara untuk meninggalkan negara.

Sebaliknya, kerajaan boleh menghalang seseorang itu daripada meninggalkan negara, sebagai contohnya, sekiranya seseorang itu sedang berdepan pertuduhan jenayah, hujah beliau dan menurutnya terdapat terma khusus dalam pasport yang menyatakan dokumen perjalanan itu boleh ditarik balik pada bila-bila masa.

Shamsul mewakili ketua pengarah imigresen dan kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman Pua.

"Dalam kes ini, tiada janji sedemikian atau representasi dibuat oleh responden (ketua pengarah imigresen) bahawa perayu, walaupun memiliki pasport sah, tidak akan dihalang daripada meninggalkan negara," katanya.

Shamsul berkata ketua pengarah imigresen mempunyai kuasa terhadap pemantauan awam dan arahan dalam semua perkara berkaitan imigresen mengikut Seksyen 3 (2) Akta Imigresen 1959.

"Responden (ketua pengarah imigresen) tidak bertanggungjawab bagi sebarang kerugian dialami oleh Pua.

"Lagipun adalah menjadi tanggungjawab perayu untuk memeriksa statusnya menerusi perkhidmatan dalam talian untuk menentukan sama ada terdapat larangan untuk beliau meninggalkan negara," hujahnya.

Terdahulu, peguam mewakili Pua, Gobind Singh Deo dalam hujahnya berkata Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan adalah tentang kebebasan seseorang, termasuk hak untuk pergi ke luar negara.

Beliau berkata tiada peruntukan khusus yang memberi kuasa kepada ketua pengarah imigresen untuk melarang seseorang daripada meninggalkan negara ini.

Hujahnya Seksyen 3(2) Akta Imigresen hanya berkaitan kuasa ketua pengarah imigresen untuk melarang seseorang daripada masuk ke Malaysia tetapi seksyen itu tidak melarang secara khusus bagi seseorang daripada meninggalkan negara ini.

Peguam itu berkata Pua mempunyai jangkaan boleh melakukan perjalanan ke luar negara kerana beliau memiliki pasport sah.

Katanya ketua pengarah imigresen salah apabila mengenakan larangan ke atas Pua berdasaran surat daripada Ketua Polis Negara kerana surat itu tidak dikemukakan di mahkamah, dan hanya berupa keterangan dengar cakap yang tidak boleh diterima di sisi undang-undang.

Panel hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Mohd Zawawi Salleh, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Kamardin Hashim menangguhkan keputusan ke tarikh belum ditetapkan.

Hakim Mohd Zawawi yang mempengerusikan panel itu berkata mereka perlukan masa untuk menimbangkan perkara itu kerana ia melibatkan isu-isu perlembagaan. Beliau berkata mahkamah akan menyediakan penghakiman bertulis.

Pua memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2015 untuk membatalkan larangan perjalanan itu. Larangan itu ditarik balik pada 20 Mei tahun lepas.

Beliau meneruskan rayuan itu bagi mendapatkan ganti rugi dan untuk mahkamah menentukan had kuasa ketua pengarah imigresen. -- BERNAMA

Popular posts from this blog

Langkah-Langkah Mengatasi Masalah Buli Di Sekolah

Masalah membuli di sekolah patut ditangani dengan segera supaya tidak menjadi barah yang akan merosakkan pelajar dan sistem persekolahan. Isu gejala buli ini bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar-pelajar malah ibu bapa juga menerima kesannya. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil dalam menangani gejala buli di kalangan pelajar sekolah.

lbu bapa perlu memainkan peranan utama dalam memberi pendidikan awal kepada anak-anak sama ada dalam bentuk nasihat dan contoh yang baik. Seperti yang kita maklum kebanyakan masa anak-anak dihabiskan bersama ibu bapa di rumah. Oleh itu, ibu bapa juga mesti menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak pada setiap masa. Malah, pendidikan berbentuk agama juga penting kepada anak-anak agar mereka dapat berkelakuan baik dengan sesiapa sahaja. Di samping itu, teguran secara berhikmah juga wajar dilakukan kepada anak-anak yang berkelakuan negatif sejak kecil lagi

Peranan media massa juga amat penting dalam membendung masalah buli di kalang…

Kepentingan Menjaga Kesihatan Diri

Dalam hidup ini kita mestilah menjaga kesihatan. Kesihatan diri perlu dijaga supaya kita dapat hidup selesa dan gembira. Oleh itu, menjadi kewajipan setiap orang memastikan amalan menjaga kesihatan diri dipraktikkan dengan sebaik mungkin.

Salah satu kepentingan menjaga kesihatan diri, kita dapat melakukan berbagai aktiviti yang kita suka. Sebagai contoh, kita dapat bemain bola sepak dan berolah raga dengan selesa. Kesannya kita akan lebih gembira kerana dapat melakukan aktiviti yang kita minat. Mana mungkin orang yang tidak sihat dapat bermain bola dan beraktiviti.

Selain itu,apabila kita menjaga kesihatan kita dengan baik, kita dapat belajar dengan selesa dan mudah menumpukan perhatian sewaktu guru sedang mengajar atau memberikan penerangan. Keselesaan ini terhasil disebabkan kita tidak mempunyai sebarang penyakit yang mengganggu konsentrasi kita seperti selsema, demam, sakit perut dan lain-lain lagi.

Di samping itu, orang yang menjaga kesihatan juga tidak menghadapi seb…

Resepi Sup Ketam Nipah Buat Penawar Demam Denggi

Bahan-bahan:
Ketam nipah (dibersihkan)1/2 inci halia (dikisar/diketuk)2 ulas bawang putih (dikisar)2 ulas bawang merah (dikisar)1/2 bawang besar (dihiris)Sedikit lada putih (dikisar-tak letak pun tak mengapa)Sedikit daun sup dan daun bawang (dihiris)Sedikit bawang gorengSedikit minyak untuk menumisAir secukupnya untuk kuahGaram dan serbuk perasa secukupnya

Cara-cara:
Panaskan sedikit minyak dalam periuk. Tumiskan semua bahan kisar sehingga garing.Kemudian masukkan air biarkan memdidih seketika.Masukkan pula ketam yang sudah dibersihkan.Kemudian tambahkan air lagi sehingga ketam-ketam tu tenggelam. (kuah boleh diperlebihkan untuk dihirup).Kemudian masukkan garam dan sedikit serbuk perasa dan biarkan mendidih dan biarkan kulit ketam bertukar warna menjadi kemerahan sehingga masak menyeluruh. Bila dah masak boleh la padamkan api.Semasa dihidang, taburkan dengan hirisan daun bawang dan bawang goreng.
Selamat mencuba !

Resepi Lain

Recommendations by outbrain